“Berubah Demi Kuasa” – Akmal Sindir Pendirian Baharu Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh menyindir kenyataan terbaharu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat mula melonggarkan pendirian tentang identiti Melayu demi kepentingan politik.

Dr. Akmal mendakwa, kenyataan Muhyiddin yang menyatakan bahawa menjadi “Melayu terlebih dahulu” bukan lagi perkara penting menunjukkan perubahan prinsip demi kuasa.

“Benarlah kata orang, demi kuasa manusia berubah. Moga Allah pelihara perjuangan yang ikhlas demi agama, bangsa dan tanah air ini, serta lindungi kita daripada mereka yang mempergunakan agama dan bangsa demi kepentingan diri sendiri,” katanya dalam satu hantaran penuh sindiran di media sosial.

Terdahulu, Muhyiddin dalam ucapannya semasa Festival Perpaduan India anjuran Parti Rakyat India Malaysia menyatakan bahawa walaupun beliau seorang Melayu, keprihatinannya merangkumi seluruh rakyat Malaysia.

“Saya pernah kata saya Melayu terlebih dahulu. Itu tak penting lagi, saya seorang Melayu yang prihatin dengan semua rakyat Malaysia,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.

Mengulas lanjut, Dr. Akmal menegaskan beliau tetap akan mendahulukan identiti bangsanya dalam perjuangan politik, selaras dengan prinsip yang dipegang oleh UMNO sejak penubuhannya.

“Saya tetap Melayu dahulu sebelum Malaysia, kerana itu bangsa saya – yang tidak boleh diubah, dulu, kini dan Insya-Allah selamanya,” tegas beliau.

BBerkaitan

Latest articles