Bersatu Sebenarnya Takut Ditipu PAS, Veteran Cadang Parti Dibubar, Kembali ke Pangkuan UMNO

KUALA LUMPUR: Kenyataan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menyatakan keterbukaan parti itu untuk bekerjasama dengan UMNO disifatkan sebagai tanda kebimbangan terhadap masa depan mereka dalam Perikatan Nasional (PN), menurut Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub.

Menurut Mustapha, Bersatu menyedari PA, sekutu utama mereka dalam PN, telah beberapa kali menghantar wakil untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha menyertai Kerajaan Perpaduan, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pimpinan Bersatu mengenai kesetiaan PAS.

“Bersatu tahu PAS telah berusaha untuk meyakinkan Anwar supaya mereka diterima dalam kerajaan. Bukan sekali, tapi sudah berkali-kali PAS menghantar ‘wakil-wakil’ mereka berjumpa Anwar untuk tujuan itu.

“Bersatu menyedari itu dan terasa mereka akan ‘dikencing’ PAS. Maka sebagai jalan keluar dan demi kelangsungan parti, mereka menawarkan kerjasama kepada UMNO atas alasan perjuangan yang kononnya sehaluan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, dalam satu sesi podcast bersama bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, Hamzah berkata Bersatu terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO kerana kedua-dua parti berkongsi ideologi perjuangan yang sama – agama, bangsa dan negara.

“Adakah mungkin satu masa nanti ada kerjasama? Ini bukan bermakna Bersatu tidak kuat tetapi kita terbuka untuk bekerjasama,” kata Hamzah.

Kenyataan Hamzah itu turut dikaitkan dengan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning baru-baru ini, apabila beliau menyatakan isu penternakan babi di kawasan tersebut boleh diselesaikan sekiranya UMNO menyertai PN dan membentuk kerajaan negeri Perak bersama.

Namun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membalas kenyataan itu dengan sinis, menyifatkannya sebagai “mimpi di siang hari.”

Dalam kenyataannya hari ini, Mustapha turut mendakwa bahawa asas perlembagaan Bersatu sebenarnya adalah salinan daripada Perlembagaan UMNO, dan ramai pemimpinnya memiliki “DNA UMNO”.

“Oleh itu, apa perlunya bekerjasama? Kenapa tidak kembali sahaja secara penuh kepada UMNO?” soalnya.

Beliau turut mencadangkan agar Bersatu dibubarkan, dan seluruh ahli serta kepimpinan parti itu kembali menyertai UMNO secara “en bloc”, merujuk kepada langkah serupa yang pernah diambil oleh Tengku Razaleigh Hamzah ketika membubarkan Semangat 46.

“Itulah cara terbaik jika Bersatu benar-benar mahu memperjuangkan agama, bangsa dan negara – bukan sekadar berkerjasama, tetapi bersama dalam UMNO,” tegas Mustapha.

Setakat ini, PAS belum mengeluarkan kenyataan balas berhubung dakwaan pertemuan bersama Perdana Menteri yang didedahkan Mustapha.

BBerkaitan

Latest articles