Berang Ditegur Ponteng Kelas, Pelajar Tingkatan Dua Ugut, Tumbuk Guru

KAJANG: Seorang pelajar tingkatan dua bertindak agresif dengan menumbuk muka gurunya sendiri selepas tidak berpuas hati kerana ditegur ponteng kelas Pendidikan Jasmani, dalam kejadian di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di daerah ini, semalam.

Kejadian berlaku di hadapan beberapa pelajar dan guru lain, mencetuskan kekecohan di dalam kawasan sekolah.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pelajar lelaki berusia 14 tahun itu turut mengugut guru berkenaan sebelum menyerangnya dalam insiden kira-kira jam 7.15 malam.

“Mangsa, seorang guru lelaki berumur 29 tahun, membuat laporan polis selepas ditumbuk dan diugut oleh pelajar terbabit semasa berada di dalam kawasan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.

Bertindak atas laporan, polis menahan pelajar terbabit dan telah mendapatkan perintah reman selama dua hari sehingga 30 Julai 2025 bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, iaitu atas kesalahan menyebabkan kecederaan dan ugutan jenayah.

“Jika sabit kesalahan, Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000, manakala Seksyen 506 pula membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” jelas beliau.

Naazron turut memaklumkan bahawa kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, dan suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang esok atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai insiden tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Mohd Amirul Abd Wahab di talian 013-549 5236 bagi membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles