“Beliau Sifu Politik Saya” – Onn Hafiz Mahu Hishammuddin Diterima Kembali

KLUANG: Satu usul akan dibawa UMNO Johor supaya bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang digantung keahlian, diterima semula menyertai parti itu.

Perkara itu diumumkan sendiri oleh Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang turut mengakui peranan besar Hishammuddin dalam membentuk jatuh bangun awal kerjayanya dalam politik.

“Sembrong ini bukan sekadar kawasan politik. Ia tempat saya belajar dan mengenal erti perjuangan. Dan orang yang membawa saya ke sini ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau adalah sifu saya,” kata Onn Hafiz dalam ucapan perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Sembrong yang berlangsung di Dewan Dato Onn, Rumah Komuniti Sembrong, hari ini.

Walaupun Hishammuddin tidak hadir ke majlis itu, beliau tetap menjadi fokus apabila ahli UMNO Bahagian Sembrong mengemukakan usul supaya pucuk pimpinan parti mempertimbangkan semula penggantungannya.

“Saya dimaklumkan ada usul daripada UMNO Bahagian Sembrong agar Datuk Seri Hishammuddin diterima semula. Insya-Allah, sebagai Pengerusi UMNO Johor, saya akan membawa usul ini ke peringkat tertinggi,” katanya.

Untuk rekod, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong, digantung keahlian selama enam tahun bermula 27 Januari 2023.

Keputusan itu dimaklumkan melalui surat bertarikh 30 Januari 2023, yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO ketika itu, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Hishammuddin bukan satu-satunya tokoh yang dikenakan tindakan itu.

Selain beliau adalah bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, turut digantung selama enam tahun.

Namun berbeza dengan tokoh lain seperti Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang telah merayu dan diterima semula ke dalam parti, Hishammuddin bertegas tidak akan membuat sebarang rayuan.

BBerkaitan

Latest articles