KUALA LUMPUR: Bedah siasat terperinci terhadap pelajar sekolah agama, Zara Qairina Mahathir mengesahkan punca kematiannya adalah akibat kecederaan otak traumatik yang serius, disertai komplikasi ensefalopati hypoxic-ischemic.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, dapatan itu selari dengan diagnosis awal yang dibuat sehari selepas kematian mangsa pada 17 Julai lalu.
“Proses bedah siasat dijalankan pada 10 Ogos oleh tiga pakar forensik – seorang Pakar Perunding Patologi Forensik dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, bersama dua doktor dari Hospital Queen Elizabeth. Penemuan ini konsisten dengan kecederaan otak teruk yang menjadi punca utama kematian,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak polis turut mengambil langkah pemulihan psikologi terhadap 124 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Sabah, yang dipercayai terkesan secara emosi susulan tragedi tersebut.
Menurut Kumar, pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) telah menjalankan intervensi psikologi di sekolah berkenaan bagi membantu pelajar mengatasi trauma.
“Proses ini melibatkan elemen psikiatri dan kaunseling bagi memulihkan keyakinan pelajar supaya mereka kembali stabil secara emosi dan mengelakkan kejadian sebegini berulang,” jelasnya.