Bedah Siasat Jenazah Zara Qairina Bermula Jam 9 Pagi

KOTA KINABALU: Proses bedah siasat jenazah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, bermula kira-kira jam 9 pagi tadi di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Menurut peguam keluarga, Hamid Ismail, proses tersebut diketuai pakar patologi, Dr Jessie Hiu, bagi melengkapkan siasatan punca kematian pelajar berusia 13 tahun itu.

Terdahulu, jenazah tiba di HQE sekitar jam 10.30 malam tadi selepas digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang, kira-kira tiga jam sebelum itu.

Sebelum bedah siasat, jenazah dibawa ke Jabatan Radiologi untuk pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan kemudiannya disimpan di Jabatan Perubatan Forensik.

Kira-kira 100 ahli keluarga, kenalan, dan penduduk setempat hadir menyaksikan proses penggalian semula kubur yang dijalankan sejak tengah hari semalam.

Operasi itu dikawal ketat oleh anggota polis dan turut dipantau pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Allahyarham Zara Qairina dikebumikan pada 17 Julai lalu selepas disahkan meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolahnya, sehari sebelum itu.

Penggalian semula kubur dilakukan selepas Majistret Zuraini Ali Musa mengeluarkan perintah melalui prosiding secara aplikasi Zoom yang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Papar, semalam.

Keluarga arwah sebelum ini memohon proses tersebut bagi membolehkan bedah siasat dilakukan, sekali gus membantu melengkapkan siasatan berhubung punca kematian pelajar terbabit.

BBerkaitan

Latest articles