ALOR GAJAH: Detik menyayat hati berlaku di sebuah rumah di Kuala Sungai Baru apabila seorang bayi perempuan berusia empat bulan disahkan meninggal dunia dipercayai tersedak susu ketika berada di bawah jagaan bapanya, awal pagi Jumaat lalu.
Kejadian berlaku sekitar jam 5 pagi, apabila bapa mangsa yang baru pulang dari kerja syif malam di sebuah kilang memberikan susu botol kepada anak sulungnya itu sebelum terlelap.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed, ketika insiden berlaku, ibu bayi berkenaan yang berusia 22 tahun telah keluar bekerja kira-kira 15 minit sebelum kejadian.
“Bapa bayi itu pulang ke rumah kira-kira jam 4.30 pagi. Selepas memberikan susu botol kepada anaknya pada jam 5 pagi, dia tertidur dan hanya tersedar semula kira-kira jam 10 pagi.
“Dia mendapati anaknya tidak lagi bergerak ketika cuba mengejutkannya, lalu segera membawa bayi berkenaan ke Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru sekitar jam 10.15 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Azrul, pasukan perubatan di klinik berkenaan segera memberikan bantuan pernafasan namun bayi tersebut tidak memberi sebarang tindak balas sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10.40 pagi.
“Mayat bayi kemudian dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan hasil awal menunjukkan keputusan masih menunggu laporan makmal penuh (‘pending laboratory investigation’),” katanya.
Sehingga kini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai SDR (Sudden Death Report) atau kematian mengejut, sementara pihak polis menunggu hasil siasatan lengkap daripada laporan makmal.
Jenazah bayi itu telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Linggi, petang hari sama.