Bayi 15 Bulan Maut Dipercayai Didera, Dubur Cedera, Polis Tahan Ibu, Teman Lelaki

ALOR GAJAH: Seorang bayi perempuan berusia 15 bulan maut dalam keadaan menyayat hati selepas dipercayai didera ibu kandungnya dan teman lelaki wanita itu, dalam kejadian di sebuah premis kedai di Bandar Satelit, Pulau Sebang malam tadi.

Kejadian terbongkar kira-kira jam 11 malam apabila bayi malang itu dihantar oleh ibunya yang berusia 24 tahun ke Hospital Tampin dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Namun, pemeriksaan lanjut doktor mendapati terdapat kesan kecederaan pada dubur, lebam di perut serta belakang badan, sebelum mangsa disahkan meninggal dunia hanya 30 minit kemudian.

Menurut sumber, doktor yang curiga dengan kecederaan dialami mangsa segera membuat laporan polis.

Siasatan awal polis mendapati, ibu mangsa yang berasal dari Kampung Anak Air Durian Daun, Tampin membawa anak tunggalnya itu ke tempat kerja teman lelakinya yang berusia 20 tahun, seorang pemain muzik, sekitar jam 6.30 petang semalam.

“Wanita itu kemudian keluar membeli makanan, meninggalkan anaknya bersama teman lelaki di kedai tersebut. Apabila kembali, dia memberitahu telah menidurkan bayinya kira-kira jam 10 malam manakala teman lelakinya sibuk menguruskan kedai,” katanya.

Bagaimanapun, wanita itu mendakwa anaknya tidak sedarkan diri ketika cuba dikejutkan pada jam 10.30 malam untuk pulang ke rumah mereka di Tampin.

“Mereka terus membawa bayi itu ke hospital, tetapi malangnya bayi disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman,” kata sumber.

Susulan laporan hospital, polis menahan ibu bayi tersebut bersama teman lelakinya pada malam sama.

Kedua-duanya dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Gajah pagi ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

BBerkaitan

Latest articles