RAWANG: Suasana pagi bertukar cemas apabila sebuah bas ekspres yang membawa puluhan penumpang terbabit dalam kemalangan serius dengan sebuah lori tiga tan di KM441.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, antara Sungai Buaya dan Rawang, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.24 pagi itu, seramai 15 individu dilaporkan cedera, termasuk tiga yang mengalami kecederaan parah.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.24 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba Rawang dikerahkan dan tiba di lokasi pada jam 5.51 pagi.
Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres yang membawa 40 penumpang bersama dua pemandu.
Daripada jumlah itu, 38 penumpang berjaya keluar sendiri, manakala empat mangsa tersepit di dalam bas dan memerlukan bantuan bomba untuk dikeluarkan.
Pemandu lori turut dilaporkan terperangkap dalam kenderaan tersebut.
Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut. Lapan daripada mereka dirawat di zon hijau, empat di zon kuning manakala tiga lagi ditempatkan di zon merah kerana mengalami kecederaan serius.
Sementara itu, PLUS Malaysia dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan kemalangan tersebut menyebabkan semua lorong terhalang dan aliran trafik terjejas teruk.
Pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif, dengan kenderaan berat disaran keluar di Plaza Tol Bukit Beruntung manakala kenderaan ringan keluar di Plaza Tol Sungai Buaya.










