SUNGAI BULOH: Hasrat dua rakan untuk memulakan hidup baharu di Selangor bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut ditikam dalam satu kejadian di Kampung Kubu Gajah, Sungai Pelong, malam tadi.
Mangsa yang berusia 33 tahun itu difahamkan baru tiga hari tinggal bersama suspek, seorang lelaki berusia 40 tahun, selepas mereka berpindah dari Kelantan ke rumah tersebut.
Namun, hubungan singkat itu berakhir dengan pertengkaran yang membawa kepada insiden tikaman maut.
Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 11.26 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah dengan kesan tikaman di dada kiri. Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Sungai Buloh pada jam 12.01 tengah malam,” katanya dalam satu kenyataan.
Suspek yang turut berada di rumah berkenaan ketika polis tiba, ditahan serta-merta kerana dipercayai terlibat dalam kejadian pembunuhan itu.
“Pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut ditemui di lokasi oleh pasukan forensik. Suspek kini direman selama enam hari sehingga 1 Julai ini bagi membantu siasatan,” jelas Mohd. Hafiz.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Polis turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Sungai Pelong di talian 03-6038 3322 atau Inspektor Nurnazihah Norzilan di talian 011-1149 9008.