Bahasa Melayu Wajib Dimartabat, Bukan Sekadar Gimik – Sasterawan Negara

KUALA LUMPUR: Penggunaan Bahasa Melayu dalam setiap acara rasmi kerajaan dan di tempat awam perlu dijadikan keutamaan serta bukan sekadar pilihan, tegas Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan.

Menurut beliau, langkah itu penting dalam memastikan usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan benar-benar diterjemahkan dalam tindakan, bukan hanya pada dasar.

Dr Anwar yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menegaskan, para menteri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) wajar menunjukkan teladan dalam perkara tersebut.

“Ungkapan dalam Bahasa Melayu wajib ada di samping bahasa lain (jika perlu). Menteri dan pihak berkuasa di PBT mesti menunjukkan contoh mendaulatkan Bahasa Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook semalam.

Kenyataan itu hadir susulan kontroversi nama projek pencahayaan bandar di Bukit Bintang yang menggunakan bahasa Inggeris, ‘I LITE U’, hingga mengundang perdebatan ramai pihak yang menyifatkannya sebagai menenggelamkan identiti bahasa kebangsaan.

Bagaimanapun, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif menjelaskan, penggunaan nama tersebut hanya bersifat gimik pemasaran untuk menarik minat pelancong antarabangsa dan tidak bermaksud mengetepikan Bahasa Melayu.

Menurut Maimunah, nama I LITE U sebenarnya membawa maksud daripada singkatan “Innovative, Lighting, Infrastructure, Towards, Eco-Elegance and Urbanisation”, selari dengan aspirasi menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya pintar dan lestari yang indah pada waktu malam.

BBerkaitan

Latest articles