KUALA LUMPUR: Beberapa spekulasi timbul selepas ibu pejabat Perikatan Nasional (PN) di Solaris Dutamas didakwa ditutup kononnya kerana gagal bayar sewa.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tampil menepis dakwaan itu dengan tegas.
Katanya, penamatan sewaan pejabat tersebut pada April lalu adalah atas persetujuan bersama antara PN dan pemilik premis, tanpa sebarang tunggakan.
“Perkara ini telah dimaklumkan kepada pimpinan tertinggi PN dan dipersetujui bersama. Tiada isu tunggakan bayaran seperti yang dilaporkan oleh sesetengah media.
“Pentadbiran serta urusan ibu pejabat PN juga masih berjalan seperti biasa dengan kendalian pegawai dan kakitangan di lokasi tidak rasmi sementara menunggu premis baharu siap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, sebuah media melaporkan pejabat utama PN ditutup selepas didakwa gagal menjelaskan sewa sejak Mac lalu, sekali gus mencetuskan persepsi negatif terhadap kedudukan kewangan gabungan itu.
Bahkan Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang turut diajukan persoalam sama dilihat seakan tidak tahu-menahu.
“Itu urusan Setiausaha Agung PN. Saya tidak mengetahui status sebenar,” katanya ringkas.
Difahamkan, pejabat berkenaan sebelum ini menjadi ‘markas utama’ mesyuarat Majlis Tertinggi PN sejak gabungan itu ditubuhkan pada 2020.