KUALA LUMPUR: Jeneral Datuk Azhan Md Othman secara rasmi dilantik sebagai Panglima Tentera Darat (PTD) ke-31 berkuat kuasa 1 Januari lalu, menggantikan Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan yang kini diarahkan bercuti bagi memberi laluan kepada siasatan pihak berkuasa terhadap dakwaan yang dikaitkan dengannya.
Pelantikan Azhan dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Ke-631 pada 19 November tahun lalu dan telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 1 Disember.
Majlis Pemakaian Pangkat PTD disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Wisma Pertahanan hari ini, sekali gus menandakan bermulanya tugas rasmi beliau menerajui Tentera Darat Malaysia (TDM).
Memiliki pengalaman luas serta rekod kepimpinan cemerlang dalam perkhidmatan ketenteraan, Azhan diyakini mampu meneruskan kesinambungan kepimpinan TDM dan memperkukuh tahap kesiapsiagaan angkatan darat sebagai tunjang utama pertahanan negara.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Kerajaan Malaysia atas kepercayaan yang diberikan.
Azhan menegaskan komitmen untuk memperkukuh integriti, tadbir urus berteraskan ketelusan serta pembudayaan nilai-nilai ketenteraan yang luhur, selaras dengan pelaksanaan Angkatan Masa Hadapan Strategi Domain Daratan (AMH–SD2) yang menyokong aspirasi Kertas Putih Pertahanan.
Beliau turut memberi jaminan agenda kebajikan anggota serta keluarga Tentera Darat akan terus diperkasa, di samping menyeru seluruh warga TDM agar bersatu padu, meningkatkan prestasi dan kekal sebagai angkatan pertahanan yang profesional, berkeupayaan serta diyakini rakyat.










