Azalina Selar Pemimpin PAS Banding Pemimpin Wanita Dengan Haiwan, Beri Amaran Siasatan

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyelar tindakan dua pemimpin PAS yang menggunakan perumpamaan haiwan untuk menggambarkan peranan wanita sebagai pemimpin.

Dalam satu hantaran di platform X (dahulu Twitter), Azalina memberi peringatan bahawa kenyataan seumpama itu boleh disiasat di bawah beberapa peruntukan Kanun Keseksaan.

“Kepada mereka yg berkenaan: Jika anda masih membandingkan pemimpin wanita dengan haiwan pada 2025, tahniah! Hati-hati, sebelum kena saman,” tulis beliau secara sinis.

Azalina merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan Pemuda PAS Maran, Salman Al-Farisi yang membuat analogi antara lelaki dan lembu jantan serta wanita dengan lembu betina dalam menjelaskan pandangannya bahawa lelaki lebih sesuai menjadi pemimpin.

Salman turut memetik ayat al-Quran Surah An-Nisa:34 untuk menyokong pandangannya dan menyifatkan wanita tidak wajar diangkat menjadi ketua, sebagaimana ‘lembu betina tidak memimpin kumpulan lembu’.

Hantaran tersebut tular di media sosial dan menerima kecaman luas, termasuk dari pemimpin politik serta aktivis wanita.

Menurut Azalina, kenyataan seperti itu berpotensi melanggar beberapa undang-undang, antaranya:
• Seksyen 509 Kanun Keseksaan – Mengaibkan kehormatan seseorang,
• Seksyen 504 – Mengeluarkan kenyataan yang boleh membangkitkan pecah keamanan,
• Seksyen 298A – Mewujudkan suasana tidak harmoni atas dasar agama.

Beliau juga memetik Seksyen 507B yang memperuntukkan kesalahan berkaitan kata-kata menghina apabila agama digunakan untuk mempertahankan kenyataan kontroversi.

Walaupun tidak menyebut nama individu secara langsung, Azalina memuat naik tangkap layar laporan media yang menyenaraikan kenyataan Salman dan juga kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mempertahankannya.

Dalam kenyataan balas, Tuan Ibrahim mempertahankan Salman dengan berkata perumpamaan menggunakan haiwan bukan perkara luar biasa dalam tradisi penulisan Islam.

“Dalam sejarah penulisan Islam, terdapat karya seperti Kalilah wa Dimnah yang sarat dengan kisah haiwan sebagai penyampai nilai moral,” katanya, sambil menambah beliau tidak melihat apa-apa yang bersifat seksis dalam kenyataan tersebut.

BBerkaitan

Latest articles