KUALA LUMPUR: Terdapat ibu bapa kepada pelajar yang dibuang dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kerana terlibat kes buli berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau dan agensi berkenaan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mendedahkan tindakan itu dipercayai susulan pendiriannya yang tegas menyingkirkan pelajar terbabit dalam salah laku disiplin serius, khususnya perbuatan buli.
“Saya dimaklumkan ada ibu bapa yang anak-anaknya dibuang MRSM kerana kes buli nak saman saya dan MARA. Saya katakan ‘Bring it on!’” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, MARA tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan pelajar kerana menjadi tanggungjawab pihaknya memastikan majoriti pelajar dapat belajar dalam suasana selamat dan kondusif.
“Saya nak jaga keselamatan majoriti pelajar, bukan segelintir yang berlagak samseng,” tegasnya.
Asyraf menegaskan, budaya samseng tidak mempunyai tempat di MRSM dan pelaku perlu menerima akibat perbuatan mereka tanpa mengira latar belakang.
Beliau turut mengulangi amaran “#YouTouchYouGo” sebagai simbol komitmen MARA untuk bertindak pantas terhadap pelaku buli demi melindungi pelajar lain.
Penghujung Julai lalu, enam pelajar Tingkatan Lima di sebuah MRSM di Melaka digantung dan dicadangkan untuk dibuang selepas didakwa terlibat dalam kejadian buli.
Pada April, Jawatankuasa Disiplin MRSM turut mengesyorkan tujuh pelajar di MRSM Nibong Tebal, Pulau Pinang, yang terlibat kes sama, ditamatkan pengajian.