AS Turunkan Tarif Ke Atas Malaysia Daripada 25% Kepada 19%

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) memutuskan untuk mengurangkan kadar tarif timbal balik ke atas Malaysia daripada 25% kepada 19%, berkuat kuasa hari ini.

Langkah itu hadir selepas rundingan berpanjangan antara kedua-dua negara, yang menyaksikan Malaysia sebelum ini dikenakan tarif 25% oleh pentadbiran Presiden Donald Trump, satu kadar yang disifatkan Trump sebagai “jauh lebih rendah” daripada apa yang diperlukan untuk menghapuskan defisit perdagangan AS dengan Malaysia.

Sebelum ini, kadar tarif ke atas beberapa eksport Malaysia ke AS telah ditetapkan pada 24% dan diberikan penangguhan selama 90 hari, yang tamat hari ini.

Pengumuman mengenai penetapan kadar baharu itu telah dibayangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 semalam.

Sementara itu, agensi berita AFP melaporkan bahawa pentadbiran Trump turut mengenakan tarif baharu dan lebih tinggi ke atas puluhan negara lain dalam usaha agresifnya merombak struktur perdagangan global bagi mengutamakan kepentingan perniagaan AS.

Antara negara lain yang terjejas termasuk Syria dengan tarif setinggi 41%, Afrika Selatan (30%) dan Kanada yang kini dikenakan tarif 35%, meningkat daripada 25% sebelum ini.

Minggu lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Malaysia menyasarkan kadar tarif paling minimum ke atas eksportnya ke AS.

Mengulas laporan Bloomberg yang mendakwa Malaysia menyasarkan kadar 20%, beliau menegaskan rundingan masih berjalan dan kerajaan belum muktamadkan sebarang konsesi kepada AS.

“Butiran penuh rundingan akan diumumkan apabila semuanya dimuktamadkan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles