JEDDAH: Arab Saudi terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju global dalam pengurusan haji dan umrah apabila dua inisiatif digital utamanya, Platform Nusuk dan Laluan Makkah yang mencatat pencapaian luar biasa dalam usaha memodenkan perkhidmatan jemaah sejajar dengan Wawasan 2030.
Platform Nusuk yang dibangunkan di bawah seliaan Kementerian Haji dan Umrah kini mencatat lebih 40 juta pengguna di 190 negara, meningkat hampir empat kali ganda daripada 12 juta pada tahun sebelumnya.
Lebih 90 peratus pengguna datang dari luar Arab Saudi, menunjukkan penerimaan meluas terhadap sistem digital tersebut.
Selain itu, lebih 26 juta muat turun aplikasi direkodkan, bersama lebih 17 juta permit umrah dan 13 juta permit ziarah ke Al-Rawdah Al-Sharifah dikeluarkan secara digital, hasil daripada lebih 130 perkhidmatan dalam talian yang direka untuk memudahkan urusan ibadah dan perjalanan jemaah.
Sementara itu, Inisiatif Laluan Makkah yang dikendalikan oleh Kementerian Dalam Negeri turut membuktikan keberkesanannya apabila seramai 314,337 jemaah tiba dengan selamat menerusi 899 penerbangan ke Jeddah dan Madinah bagi musim Haji 2025.
Program ini memudahkan urusan pra-berlepas seperti visa elektronik, pengesahan kesihatan, data biometrik, dan pengurusan bagasi, memastikan jemaah tiba terus ke penginapan tanpa perlu menunggu lama di lapangan terbang.
Pencapaian ini dijangka menjadi tumpuan pada Persidangan dan Pameran Haji 2025 yang bakal berlangsung di Jeddah dari 9 hingga 12 November, di mana pelbagai inovasi baharu akan diperkenalkan untuk memperkukuh sistem haji dan umrah global.
Melalui Nusuk dan Laluan Makkah, Arab Saudi membuktikan komitmennya menjadikan pengalaman ibadah lebih mudah, selamat dan efisien iaitu satu langkah besar dalam merealisasikan impian Wawasan 2030 yang mengangkat khidmat kepada jemaah sebagai tanggungjawab nasional dan penghormatan tertinggi.










