Anwar Tolak Politikkan Doa Qunut Nazilah, Tegaskan Bukan Senjata Lawan Politik

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa doa Qunut Nazilah tidak wajar dipolitikkan atau digunakan sebagai ‘senjata’ terhadap mana-mana pihak, termasuk mereka yang beliau sendiri tidak sehaluan secara politik.

Anwar berkata demikian bagi menjawab cadangan supaya doa Qunut Nazilah dibacakan ke atas pihak yang pernah membatalkan peruntukan kepada sekolah-sekolah agama rakyat.

“Saya tidak bersetuju doa Qunut Nazilah dibacakan terhadap mana-mana pihak termasuk yang saya tidak senangi. Itu bukan cara kita dalam berpolitik atau beragama,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan (PH) yang membangkitkan isu tersebut susulan tindakan pihak tertentu yang sebelum ini memotong peruntukan kepada sekolah agama.

Menurut Anwar (PH-Tambun), meskipun kebanyakan pengusaha sekolah agama merupakan penyokong pembangkang, beliau menyeru agar mereka turut memainkan peranan menasihati pihak berkaitan agar kembali kepada jalan yang betul dan menyokong pembangunan Islam secara inklusif.

Dalam sesi sama, Anwar turut menjelaskan bahawa kerajaan kini telah memulihkan semula peruntukan kepada sekolah-sekolah agama rakyat termasuk di negeri-negeri yang dikategorikan sebagai Kerajaan Negeri SG4 (State Government 4).

“Mulai 2022, kita salurkan semula peruntukan kepada sekolah agama rakyat termasuk di negeri SG4. Malah, kita turut memperkukuh institusi ini melalui penambahan bidang seperti TVET dan kecerdasan buatan (AI),” jelasnya.

Sebelum ini, isu bacaan Qunut Nazilah menjadi perdebatan hangat selepas ia dibacakan dalam Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai lalu, dipimpin oleh Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail.

Tindakan itu mendapat kecaman ramai, termasuk tokoh-tokoh agama yang menegaskan bahawa Qunut Nazilah seharusnya tidak digunakan terhadap sesama umat Islam hanya kerana perbezaan politik.

Para ulama turut mengingatkan bahawa doa tersebut sepatutnya dibacakan dalam konteks mempertahankan umat Islam yang tertindas, bukan dijadikan alat perbalahan politik dalaman.

BBerkaitan

Latest articles