PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak lagi akan sekadar memberi peringatan, sebaliknya tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan ketegangan kaum, agama atau budaya di negara ini.
Anwar berkata, isu-isu sensitif yang sering dipolitikkan daripada kes kematian pelajar Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir akibat buli, sehinggalah kontroversi Jalur Gemilang dipasang terbalik tidak boleh terus dibiarkan menjadi bahan untuk menghasut dan memecahbelahkan rakyat.
“Hari ini bukan lagi masa untuk teguran atau amaran. Untuk menyelamatkan negara, tindakan tegas mesti diambil,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanah Perdana Perkhidmatan Awam ke-20 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.
Perdana Menteri turut memberi jaminan, sesiapa sahaja yang terbabit dalam jenayah ugutan atau hasutan tanpa mengira darjat, pangkat atau kedudukan akan berdepan tindakan undang-undang.
Beliau mengarahkan semua agensi penguatkuasaan, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), bertindak segera dan tegas terhadap sebarang unsur hasutan, sama ada melibatkan tokoh politik, masyarakat atau orang awam.
“Orang sudah muak dengan amaran demi amaran. Negara mesti diselamatkan, dan hal ini perlu dihentikan segera dengan kerjasama semua daripada pihak berkuasa sehinggalah ibu bapa dan pendidik,” tegasnya.
Anwar juga mengingatkan agar siasatan terhadap kes-kes berprofil tinggi, termasuk kematian akibat buli, dijalankan secara telus, adil dan mengikut lunas undang-undang.
“Kalau semua keputusan dibuat tanpa siasatan, lebih baik tutup saja pejabat polis. Jangan menjatuhkan hukuman hanya kerana benci atau prasangka. Negara ini perlu ditegakkan dengan fakta, bukannya emosi,” ujarnya.
Beliau turut menegur tindakan pihak tertentu yang bertindak sendiri tanpa berlandaskan undang-undang.
“Kalau saya percaya seseorang bersalah, saya tidak boleh bawa kumpulan dan mengugutnya. Kita mesti ikut jalur hukum. Kalau tidak sanggup bertindak tegas ikut undang-undang, beri laluan kepada orang lain yang lebih berani dan berprinsip,” katanya.
Anwar menegaskan negara tidak boleh membenarkan sikap melampau yang menanam budaya keangkuhan, kebiadaban, buli atau merendahkan maruah orang lain atas dasar kaum, keturunan mahupun warna kulit.
Katanya, keselamatan rakyat tanpa mengira latar belakang mesti dijamin sepenuhnya.
“Ini bukan pertandingan populariti. Ini soal menyelamatkan negara. Sejarah menunjukkan bibit perpecahan bermula dengan perkara kecil, jangan biarkan ia berulang. Tiada siapa berhak jadi jaguh dengan cara mengugut atau menghina orang lain,” katanya.