KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sudah tiba masanya rakyat Malaysia bersikap matang dengan memahami cara mengibarkan Jalur Gemilang dengan betul, sekali gus menghentikan kontroversi yang tidak berkesudahan setiap kali menjelang Hari Kebangsaan.
Menurut beliau, Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain atau hiasan biasa, sebaliknya lambang maruah serta kemegahan negara yang wajib dihormati.
“Pada tahap ini, rakyat sepatutnya sudah cukup matang untuk mengetahui kedudukan bendera. Jangan lagi ada kesilapan sehingga menimbulkan isu yang tidak sepatutnya.
“Saya menyeru, kibarkan Jalur Gemilang dan pastikan ia dipasang dengan cara yang betul, mengikut kedudukan dan peraturan yang ditetapkan,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Negara, hari ini.
Anwar menegaskan, mengibarkan Jalur Gemilang dengan sempurna bukan sahaja tanda patriotisme, tetapi juga manifestasi rasa hormat kepada negara.
Terdahulu, beberapa insiden pemasangan bendera secara salah termasuk di premis perniagaan telah menimbulkan perdebatan masyarakat, malah mencalar semangat kemerdekaan menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-67 pada 31 Ogos ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengecam tohmahan pembangkang yang mendakwa kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk membantu rakyat, khususnya dalam soal kos sara hidup dan pembangunan negara.
Beliau menegaskan, dakwaan sedemikian bukan sahaja tidak benar, malah lebih mengecewakan apabila disertai dengan alasan bersandarkan ayat al-Quran.
“Saya boleh terima jika ada pandangan bahawa usaha kerajaan belum memadai. Tetapi menafikan semua usaha ini dengan alasan politik, malah menggunakan ayat-ayat suci al-Quran sebagai justifikasi, itu satu kepalsuan yang saya bantah sekeras-kerasnya,” tegas beliau.
RMK-13 sebelum ini telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 21 Ogos lalu selepas lapan hari perbahasan, membabitkan 153 Ahli Parlimen dari kerajaan dan pembangkang.