KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak, khususnya penjawat awam, agar tidak memandang ringan kepentingan perpaduan dan permuafakatan dalam memastikan kerajaan sedia ada kekal kukuh serta stabil.
Menurut beliau, pelbagai pencapaian berjaya direkodkan negara sepanjang tiga tahun lalu hasil keamanan dan kestabilan politik yang terhasil daripada kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan.
Anwar berkata, lebih banyak kejayaan mampu dicipta sekiranya semua pihak, termasuk Jemaah Menteri dan kepimpinan di peringkat negeri, terus bergerak sebagai satu pasukan dengan hala tuju negara yang jelas.
Sehubungan itu, beliau menegaskan penjawat awam perlu kekal fokus terhadap tanggungjawab dan cita-cita besar untuk memajukan negara, tanpa terjejas oleh perkara yang boleh mengganggu keutamaan tugas.
“Jika kita dapat mengekalkan momentum dan rekod pencapaian sepanjang tiga tahun ini, serta melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan, saya percaya, insya-Allah, Malaysia dalam tempoh satu hingga dua tahun akan terus diangkat sebagai negara hebat di rantau ini,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, hari ini.
Dalam ucapannya, Anwar turut mengingatkan agar semua pihak tidak terpesong atau terpengaruh dengan sentimen berasaskan kaum dan agama yang boleh mengalihkan fokus daripada agenda pembangunan negara.
Jelas beliau, sentimen sedemikian hanya akan melemahkan kekuatan serta menggugat kesatuan rakyat.
“Kita perlu membuat pilihan sama ada mahu mengangkat Malaysia sebagai negara hebat dengan menyatukan rakyat pelbagai kaum dan memadamkan sentimen yang menghakis kekuatan, atau berdepan risiko perpecahan seperti yang berlaku di negara lain,” tegasnya.
Anwar menegaskan, Perlembagaan Persekutuan kekal sebagai asas penting negara termasuk dalam soal bahasa, budaya serta keistimewaan bumiputera.
Namun, prinsip tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan sehingga ada pihak berasa terpinggir.
Beliau yakin negara mampu terus mencatat kemajuan lebih baik pada tahun ini sekiranya keamanan dipelihara, kesatuan diperkukuh dan semua pihak bekerja dengan komitmen serta kesungguhan tinggi demi masa depan Malaysia.










