KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap keganasan berterusan di El-Fasher dan seluruh wilayah Darfur, Sudan, yang kini disifatkan sebagai bencana kemanusiaan paling mengerikan di dunia moden.
Beliau menegaskan, Malaysia menyeru supaya semua bentuk serangan dihentikan serta-merta dan keselamatan orang awam dijamin sepenuhnya selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Dunia sedang menyaksikan pembunuhan beramai-ramai, kebuluran dan perpindahan penduduk dalam skala yang amat mengejutkan. Laporan mengenai kekejaman yang berpotensi menjurus kepada jenayah terhadap kemanusiaan — malah genosid — adalah sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar menegaskan, Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Sudan dan menggesa masyarakat antarabangsa segera bertindak tegas bagi menghentikan penderitaan berpanjangan di negara itu.
“Keutamaan mesti diberikan kepada pemulihan akses kemanusiaan, perlindungan orang awam serta pelaksanaan proses yang adil ke arah keamanan dan kebertanggungjawaban,” ujarnya.
Menurut laporan antarabangsa, ribuan orang awam kini terperangkap di El-Fasher selepas bandar itu jatuh ke tangan pasukan separa tentera, Rapid Support Forces (RSF), yang dikaitkan dengan pelbagai kekejaman.
Pelbagai sumber melaporkan pembunuhan tanpa bicara, keganasan seksual terhadap wanita, serangan terhadap petugas bantuan, rompakan serta penculikan semakin berleluasa sejak kejatuhan bandar itu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula memaklumkan lebih 65,000 penduduk telah melarikan diri dari El-Fasher sejak konflik tercetus, manakala puluhan ribu lagi masih terperangkap dan berdepan bahaya besar.
Anwar menegaskan, Malaysia akan terus bersuara menentang kezaliman dan menyokong setiap usaha antarabangsa ke arah perdamaian serta perlindungan hak asasi manusia di Sudan.










