Anwar: Malaysia Bebas Tentukan Hala Tuju, Tak Gentar Tekanan Kuasa Besar

SEBERANG JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan tunduk kepada mana-mana kuasa besar meskipun berdepan tekanan antarabangsa, sebaliknya kekal bebas dan berdaulat dalam menentukan hala tuju dasar luar serta perdagangan globalnya.

Menurut beliau, sebagai sebuah negara dagang, Malaysia akan terus memperkukuh jaringan perdagangan dengan pelbagai negara tanpa berpihak kepada mana-mana blok kuasa, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan China.

“Malaysia negara merdeka, berdaulat dan bebas. Kalau kita tunduk kepada arahan AS, sudah tentu kita tidak akan hadir ke Sidang Kemuncak G20,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD) di Tapak Ekspo Seberang Jaya, hari ini.

Anwar berkata demikian susulan keputusannya untuk tetap menghadiri Sidang Kemuncak G20 walaupun Presiden AS, Donald Trump, mengumumkan larangan terhadap penyertaan wakil AS dalam sidang berkenaan.

Katanya, Malaysia bukan sahaja menjalin hubungan erat dengan AS dan China, tetapi turut memperluas kerjasama perdagangan dengan Brazil dan Afrika Selatan bagi mempelbagaikan pelaburan serta rantaian bekalan global.

“Peranan kita bukan buka jaringan dengan satu negara saja. Hubungan dengan China kuat, tapi kita juga perlu kukuhkan hubungan dengan AS, Brazil, Afrika Selatan dan lain-lain supaya Malaysia kekal diyakini sebagai negara dagang yang stabil,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan setiap keputusan kerajaan dalam aspek perdagangan dibuat dengan mengambil kira kepentingan rakyat, terutama dari segi peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi nasional.

“Kalau saya hanya nak jadi hero dengan maki hamun AS, akhirnya rakyat yang sengsara. Pendekatan seimbang ini penting supaya Malaysia terus dilihat sebagai destinasi pelaburan yang stabil,” katanya.

Terdahulu, pada 31 Oktober lalu, Anwar menolak dakwaan kononnya Malaysia menyerahkan kedaulatan kepada AS selepas meratifikasi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART).

Beliau menegaskan perjanjian itu dimeterai atas dasar kepentingan pelaburan negara, bukan kerana tekanan kuasa luar.

“Kalau betul kita tunduk kepada AS, bagaimana kita masih boleh tandatangani perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan China dan berbincang dengan syarikat Korea Selatan tentang nadir bumi? ART sendiri mengandungi klausa keselamatan dan kepentingan nasional,” jelasnya.

BBerkaitan

Latest articles