KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan tekad mempertahankan sepenuhnya hak Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia, termasuk membawa isu tersebut ke peringkat perbicaraan antarabangsa sekiranya diperlukan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menceroboh atau mempertikai kedaulatan negeri itu sama ada di darat mahupun di perairan negara.
“Mengapa kita lakukan ini? Kerana ini negara kita. Sabah ini Malaysia. Kita akan lawan habis-habisan, di Mahkamah Sepanyol atau mana-mana pun, mempertahankan satu inci pun hak Sabah,” katanya ketika merasmikan majlis penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025 hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; serta timbalannya, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Menurut Anwar, kerajaan MADANI komited mempercepat pembangunan Sabah dan menyelesaikan isu tertunggak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melalui pelbagai inisiatif serta peruntukan.
Antara langkah yang sudah dilaksanakan ialah menaikkan pemberian khas interim Sabah daripada RM300 juta kepada RM600 juta pada tahun ini serta memperuntukkan RM10 bilion untuk menyiapkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.
“Projek itu tertangguh sebelum ini, tetapi kerajaan Persekutuan teruskan. Mungkin belum siap sepenuhnya, tapi kelulusannya sudah diberi dan pakej kerja sedang berjalan,” katanya.
Dalam aspek utiliti, Anwar berkata kerajaan Persekutuan bersetuju menyerahkan sepenuhnya pengurusan elektrifikasi Sabah kepada kerajaan negeri, dengan subsidi RM3.54 bilion selama tujuh tahun hingga 2030.
Bagi mengatasi isu bekalan air yang masih berlarutan, kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM300 juta, manakala projek bernilai bawah RM50 juta diserahkan kepada pentadbiran negeri untuk dilaksanakan.