KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan budaya melampau dalam negara, daripada kes buli hingga membawa kepada kematian, dan kini melibatkan serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Bagi memastikan keadilan dan ketelusan, Anwar berkata beliau sendiri telah menghubungi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, serta Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, untuk mengarahkan siasatan menyeluruh terhadap kedua-dua insiden tersebut.
“Saya amat dukacita dengan budaya melampau ini bermula daripada kes buli, kemudian kes kematian, dan kini serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan. Arahan telah diberikan supaya siasatan dijalankan secara telus dan rapi kerana keadaan ini amat membimbangkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Semalam, media melaporkan anak lelaki Rafizi diserang secara mengejut oleh dua lelaki di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya kira-kira jam 1.45 tengah hari ketika bersama ibunya.
Anwar turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengambil langkah tegas bagi menghentikan budaya tidak sihat ini.
“Saya jamin pihak polis dan Menteri Dalam Negeri akan bertindak segera dan telus. Bukan sekadar mengambil tindakan, tetapi memastikan budaya jahat ini dihentikan sama sekali,” tegasnya.