Anwar: GST Diakui Efisien, Namun Belum Sesuai Kembali Dilaksana

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) merupakan sistem percukaian yang efisien dan telus, namun kerajaan masih belum bersedia untuk melaksanakannya semula dalam masa terdekat.

Menurut Anwar, yang juga Menteri Kewangan, keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan GST dibuat kerana tahap pendapatan rakyat ketika ini masih belum memadai dan dikhuatiri akan membebankan golongan berpendapatan rendah.

“GST adalah sistem yang menyeluruh, mudah dan efisien. Tapi biarlah pendapatan rakyat meningkat dahulu. Jika gaji minimum RM4,000, mungkin kita boleh laksanakan. Tapi hari ini, masih ramai berpendapatan RM1,700 hingga RM2,000,” katanya dalam ucapan semasa Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, hari ini.

Beliau menegaskan, sebarang pelaksanaan cukai baharu tidak harus menambah tekanan hidup rakyat, khususnya mereka yang berada dalam kategori B40 dan M40.

Dalam pada itu, Anwar turut menjelaskan bahawa penambahbaikan terhadap Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa 1 Julai ini akan dilaksanakan secara progresif dan bersasar.

Beliau berkata, langkah itu dilakukan tanpa menaikkan cukai ke atas barangan keperluan asas rakyat, sebaliknya memberi ruang fiskal yang lebih luas kepada kerajaan.

Dana hasil pemerkasaan SST itu, katanya, akan digunakan untuk memperkukuh perkhidmatan awam termasuk bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), perlindungan sosial serta penambahbaikan sektor kesihatan, pendidikan dan pengangkutan awam.

“Kita bukan naikkan cukai membuta tuli. Kita sasarkan cukai kepada yang mampu, bukan kepada barangan asas rakyat. Matlamatnya adalah keadilan fiskal yang menyeluruh dan mampan,” tegasnya.

Kerajaan, menurutnya akan terus mengekalkan pendirian untuk melaksanakan reformasi fiskal secara berhemah, tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat.

BBerkaitan

Latest articles