Anwar Cabar Anak Dr Mahathir Jelaskan Kekayaan Atau Bayar Balik

JAKARTA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencabar anak-anak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya menjelaskan sumber kekayaan mereka yang luar biasa atau memulangkan semula wang tersebut kepada kerajaan.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama wartawan tersohor Indonesia, Najwa Shihab, Anwar berkata, pendedahan mengenai jumlah aset yang besar dimiliki oleh dua anak Dr Mahathir menimbulkan persoalan serius yang perlu diberikan penjelasan sewajarnya.

“Kalau seseorang sendiri mengisytiharkan memiliki aset bernilai RM1.2 bilion, dan seorang lagi RM4 bilion, maka wajarlah mereka jelaskan dari mana datangnya wang itu. Kalau tidak, bayar balik,” tegasnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyifatkan tindakan pembangkang mempertahankan individu yang terpalit dengan isu kekayaan luar biasa sebagai tindakan songsang dan membingungkan.

“Pelik apabila pembangkang yang sepatutnya barisan paling tegas menentang rasuah bertindak melindungi individu yang dikaitkan dengan kekayaan mencurigakan, termasuk yang disokong oleh Dr Mahathir,” katanya.

Anwar menegaskan bahawa perjuangan reformasi yang diketengahkannya bukan sekadar slogan atau retorik politik, sebaliknya melibatkan tindakan konkrit dan keberanian politik untuk mengubah budaya korupsi dalam negara.

“Apa perlunya anak perdana menteri atau menteri memiliki kekayaan berbillion ringgit? Kita mesti hentikan budaya ini. Reformasi bukan hanya di atas kertas atau melalui peraturan semata-mata. Reformasi adalah tindakan,” ujarnya.

Untuk rekod, Tan Sri Mokhzani Mahathir sebelum ini dilaporkan memiliki aset sekitar RM1 bilion, manakala Mirzan Mahathir mengisytiharkan kekayaan bernilai RM246.2 juta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Isu kekayaan luar biasa anak-anak pemimpin terus mencetuskan perbahasan hangat, terutama apabila SPRM sendiri dilapor sedang meneliti sumber dan perolehan aset beberapa tokoh terkemuka.

Dalam temu bual yang berlangsung semasa lawatan rasmi dua hari Anwar ke Indonesia itu, beliau turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan membuat tuduhan sembrono, tetapi menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasat mana-mana pihak termasuk dirinya sendiri jika perlu.

BBerkaitan

Latest articles