KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan satu pengumuman khas berkaitan Kabinet Kerajaan MADANI akan dibuat hari ini, sekali gus menguatkan spekulasi mengenai rombakan atau pelantikan barisan menteri baharu.
Menurut Anwar, pengumuman tersebut dijadualkan disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen nasional pada jam 3.30 petang.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI kekal komited untuk memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Pengumuman itu dilihat bakal menjawab desas-desus yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini, khususnya berhubung beberapa kementerian yang masih belum mempunyai menteri penuh.
Antaranya ialah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang kosong selepas tempoh Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berakhir kira-kira dua minggu lalu.
Selain itu, dua lagi kementerian turut tidak mempunyai peneraju tetap susulan peletakan jawatan oleh Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun lalu serta Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam bermula 4 Julai 2025.
Buat masa ini, jawatan berkenaan dipangku oleh Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, sementara menunggu keputusan rasmi kerajaan.










