Anak Jadi Mangsa Dera Sejak 2023, Suami Isteri Direman Enam Hari

ARAU: Polis menahan sepasang suami isteri di sebuah rumah awal pagi tadi kerana disyaki mendera anak kandung perempuan mereka yang berusia 11 tahun sejak 2023.

Ketua Polis Daerah Arau, Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, penahanan suami isteri berusia 37 tahun itu dilakukan pada 1.30 pagi selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis menerima aduan daripada orang awam.

Beliau berkata, kejadian terbaharu dipercayai berlaku 12.30 tengah hari semalam apabila mangsa dipukul menggunakan sebatang rotan di bahagian belakang badan oleh bapanya kerana didakwa berkelakuan nakal.

“JKM menerima maklumat daripada seorang individu kira-kira 12.15 tengah hari semalam melalui talian hotline JKM mengenai mangsa yang disyaki telah didera secara fizikal oleh ibu bapa kandungnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pegawai pelindung JKM negeri kemudian ke rumah pasangan berkenaan di sebuah taman perumahan pada 10.40 malam tadi sebelum membawa mangsa yang merupakan murid di sebuah sekolah di Kangar untuk ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Arau bagi melengkapkan siasatan.

Ahmad Mohsin berkata, hasil pemeriksaan pegawai perubatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar mendapati kanak-kanak itu mengalami kecederaan pada bahagian kepala, bibir, dada, rusuk kanan, belakang badan, lengan dan betis disyaki akibat dipukul dengan objek tumpul serta terkena air panas.

“Kecederaan yang dialami mangsa adalah kecederaan baharu serta lama dan dia telah dirujuk ke Unit Pediatrik HTF untuk rawatan lanjut,” katanya.

Ahmad Mohsin berkata pasangan suami isteri itu direman enam hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – Bernama

BBerkaitan

Latest articles