Akta Majlis Media Malaysia Rasmi Berkuat Kuasa Hari Ini, Pengamal Media Nikmati Diskaun Khas AirAsia

KUALA LUMPUR: Akta Majlis Media Malaysia mula berkuat kuasa hari ini bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025, menjadikannya antara langkah reformasi paling besar dalam sejarah industri kewartawanan negara.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, yang menyifatkan pelaksanaan akta tersebut sebagai satu titik tolak penting ke arah pemerkasaan pengamal media di Malaysia.

“Kita pilih secara simbolik untuk mewartakan dan menguatkuasakan Akta Majlis Media Malaysia sempena HAWANA 2025. Ini adalah antara reformasi terbesar dan paling bermakna buat rakan-rakan media,” katanya pada Majlis Kemuncak HAWANA 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Majlis Media Malaysia akan dianggotai 12 ahli, terdiri daripada empat kategori utama:l iaitu wakil syarikat media, wakil persatuan media, wakil pengamal media (termasuk bebas) dan wakil ahli bukan media.

Fahmi menjelaskan, Majlis ini akan menjadi saluran rasmi dan berwibawa bagi pengamal media untuk bersuara dan berwacana secara bermakna berkaitan isu-isu industri, etika serta kebebasan media.

“Kita mahu wujudkan suasana profesional, beretika dan progresif dalam dunia media. Majlis ini akan menjadi medan penting untuk menyuarakan pandangan secara kolektif dan konstruktif,” katanya lagi.

Malah Fahmi turut mengumumkan diskaun 50 peratus tambang penerbangan AirAsia secara one-off untuk wartawan tempatan ke 57 destinasi negara ASEAN.

“Ini adalah hasil rundingan strategik bersama Tan Sri Tony Fernandes sebagai tanda penghargaan terhadap peranan besar wartawan dalam membentuk masyarakat yang bermaklumat dan berintegriti,” katanya.

Tempoh tempahan dibuka hingga 31 Disember 2025, manakala tempoh penerbangan adalah dari April hingga September 2026.

Butiran lanjut dan mekanisme penebusan akan diumumkan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dalam masa terdekat.

Sebagai simbol penghargaan, AirAsia turut bersetuju untuk mencadangkan sebuah pesawat dihiasi dengan reka bentuk khas bertemakan dunia kewartawanan, lengkap dengan petikan berita penting dan visual sejarah media tempatan.

Langkah ini menurut Fahmi adalah sebahagian daripada usaha untuk mengangkat martabat kewartawanan dan memperkukuh kedudukan media sebagai tunjang demokrasi di Malaysia.

HAWANA 2025 yang bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika” menghimpunkan lebih 1,000 pengamal media tempatan dan antarabangsa, menjadikannya platform penting untuk merangka masa depan media di tengah cabaran teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

BBerkaitan

Latest articles