AKPS Nafi Video Deepfake Kaitkan KP

KUALA LUMPUR: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menafikan sekeras-kerasnya kandungan video tular di TikTok yang mengaitkan Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain, sambil menyifatkannya sebagai fitnah palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menurut kenyataan AKPS, video dimuat naik oleh akaun TikTok bernama ‘Hermano Kedutaan’ itu dipercayai menggunakan teknik deepfake, iaitu manipulasi visual berasaskan AI, yang direka untuk menjatuhkan imej dan mencemarkan reputasi ketua pengarah agensi tersebut.

“Penghasilan dan penyebaran video itu merupakan cubaan berniat jahat bagi memanipulasi serta mengelirukan orang ramai, selain menjejaskan integriti Ketua Pengarah AKPS,” kata kenyataan itu.

AKPS turut menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan kandungan berunsur penipuan seperti ini serta tidak menyebarkan video terbabit, yang merupakan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Walaupun kemajuan teknologi AI amat dialu-alukan, penggunaannya secara tidak beretika untuk tujuan memfitnah dan menjatuhkan maruah individu adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima sama sekali,” tegas AKPS.

AKPS menegaskan bahawa pihaknya memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat dalam penghasilan serta penyebaran video palsu tersebut.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyebaran video tersebut diminta tampil membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles