Akmal Gesa UMNO Bersatu Dengan PAS Demi Survival Melayu

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh secara lantang menggesa kepimpinan tertinggi parti itu mempertimbangkan penyatuan dengan PAS sebagai sekutu baharu, sambil menegaskan UMNO tidak perlu gentar kembali ke blok pembangkang jika keadaan menuntut sedemikian.

Menurut beliau, sudah tiba masanya dua parti Melayu-Islam terbesar negara berganding bahu di bawah satu wadah demi memastikan kelangsungan dan kekuatan politik orang Melayu.

Berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO hari ini, Dr Akmal berkata penyatuan UMNO dan PAS mampu mengembalikan dominasi politik Melayu memandangkan kaum itu merupakan kelompok majoriti di negara ini.

Katanya, perjuangan tersebut bukan berkisar kepentingan peribadi atau masa depan kerjaya politik mana-mana individu, sebaliknya melibatkan maruah serta masa depan bangsa.

“Jika UMNO dan PAS bersatu, saya yakin orang Melayu akan kembali bangkit dan berdiri teguh bersama,” tegasnya.

Konvensyen khas itu diadakan bagi menilai hala tuju UMNO sama ada terus kekal bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) atau sebaliknya.

Ia turut dipengaruhi isu kegagalan pemimpin DAP, Yeo Bee Yin, memohon maaf berhubung hantaran media sosial yang didakwa ‘meraikan’ keputusan mahkamah menolak rayuan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut, Dr Akmal berkata UMNO tidak mempunyai sebarang sebab untuk takut menjadi pembangkang, memandangkan parti itu pernah melalui pengalaman tersebut selama 22 bulan ketika era pentadbiran PH di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Malah, beliau berpendapat kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan tumbang sekalipun UMNO menarik sokongan kerana masih mempunyai bilangan kerusi mencukupi untuk mentadbir.

“UMNO tidak pernah meminta-minta jawatan. Kita tidak merancang untuk menjadi kerajaan selepas kalah PRU, tetapi kita patuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong. Namun hari ini situasinya berbeza, jika UMNO menjadi pembangkang sekalipun, kerajaan masih boleh berjalan,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Akmal menegaskan beliau tidak berniat menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Sebaliknya, jika tiada jalan penyelesaian, mandat wajar dikembalikan kepada rakyat bagi menentukan hala tuju negara.

“Prinsip saya tidak berubah. Kita serahkan semula kepada rakyat dan saya tidak akan menyokong sebarang usaha merampas kuasa melalui jalan belakang,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles