KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh melemparkan cabaran terbuka kepada Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Melaka agar mengusulkan secara rasmi kepada DAP supaya menamatkan kerjasama politik dengan UMNO.
Cabaran itu dibuat selepas Ketua DAPSY Melaka, Cassel Krishnan menegur Akmal yang didakwa memainkan sentimen kebencian melalui isu Jalur Gemilang.
Menurut Cassel, isu bendera negara tidak wajar dijadikan modal politik kerana hanya menimbulkan keresahan rakyat.
Mengulas kritikan itu, Akmal membalas dengan sindiran pedas.
“Saya nak lihat sama ada mereka benar-benar berani atau hanya sekadar pandai bercakap. Kalau setakat sembang kosong, hancing saja,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Tidak berhenti di situ, Akmal turut menanda nama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam hantaran tersebut dengan kenyataan sinis:
“Kalau kamu takut, saya tag bos kamu. Harap dia nampak.”
Isu kerjasama politik antara UMNO dan DAP bukan sahaja dipertikai DAPSY Melaka, malah turut dibangkitkan sayap sama dari Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Selangor yang mahu hubungan itu diputuskan segera.