AYER KEROH: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, menolak tanggapan bahawa jawatan lebih penting daripada sokongan akar umbi, sambil menegaskan beliau hanya akan berdiri teguh bersama suara yang mengangkatnya ke posisi sekarang.
Menurut ADUN Merlimau itu, kekuatan sebenar seorang pemimpin bukan terletak pada gelaran, sebaliknya pada kepercayaan ahli di peringkat bawah yang sentiasa setia bersama perjuangan parti.
“Saya tidak mengejar jawatan. Keutamaan saya ialah amanah yang diberikan oleh mereka. UMNO ini saya sayangi sejak dulu dan saya akan pertahankan sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau dijadualkan bertemu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, serta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi membincangkan persiapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan berlangsung 15 Januari ini.
Hasil pertemuan itu, katanya, mungkin membawa kepada pengumuman penting pada hari pertama PAU.
Dr Akmal menegaskan, segala keputusan yang bakal dibuat kelak berpaksikan satu perkara iaitu suara akar umbi.
“Kalau suara mereka diketepikan, pemimpin itu gagal. Tanggungjawab saya ialah pastikan suara di bawah sampai ke atas. Tentang kedudukan saya, tunggulah jawapan di PAU nanti,” katanya.










