KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kini tidak lagi boleh didakwa semula terhadap 47 pertuduhan berkaitan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan lanjut.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar, berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti enam representasi daripada pihak pembelaan dan mendapati kes tersebut semakin lemah dari sudut fakta serta undang-undang.
“Kes sudah ‘dilute’. Siasatan lanjut menunjukkan tiada keperluan untuk diteruskan. Ini bukan keputusan suka-suka. Kes ini tamat dan beliau tidak boleh didakwa lagi,” katanya selepas Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2026.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat menggunakan kuasa di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, walaupun Ahmad Zahid sebelum ini dipanggil membela diri di Mahkamah Tinggi.
Siasatan tambahan oleh SPRM didapati jauh lebih menyeluruh dan menunjukkan kes tidak cukup kukuh.
AGC pada 8 Januari lalu mengumumkan pendakwaan terhadap Ahmad Zahid melibatkan 47 pertuduhan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi ditamatkan secara muktamad melalui keputusan No Further Action (NFA).
Sebelum ini, pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi telah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid selepas pendakwaan memohon prosiding diberhentikan sementara menunggu siasatan lanjut.










