Hamzah Akui Rundingan Ambil Alih Parti Keluarga Malaysia

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan wujud perbincangan awal berhubung kemungkinan mengambil alih Parti Keluarga Malaysia, sekali gus menguatkan spekulasi bahawa parti itu berpotensi menyertai blok pembangkang.

Ahli Parlimen Larut itu bagaimanapun menegaskan rundingan berkenaan masih di peringkat awal dan belum mencapai sebarang keputusan muktamad.

“Memang ada perbincangan. Kita sedang berbincang dengan mereka bagaimana jika parti itu diambil alih, tetapi banyak perkara perlu diteliti,” katanya kepada media di Parlimen.

Menurut beliau, sebarang langkah pengambilalihan perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk hal teknikal dan peruntukan dalam perlembagaan parti berkenaan.

“Isu ini bukan mudah. Ia melibatkan soal teknikal termasuk struktur dan perlembagaan parti. Sebab itu rundingan masih berjalan,” jelasnya.

Pengakuan tersebut mengesahkan laporan terdahulu yang mendakwa Hamzah sedang mengatur strategi bagi mengambil alih Parti Keluarga Malaysia, yang dilihat berpotensi memperkukuh kedudukan pembangkang khususnya dalam kerangka Perikatan Nasional (PN).

Isu berkenaan timbul ketika kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang menjadi perhatian susulan gesaan beberapa pimpinan Bersatu, termasuk Ketua Penerangan parti, Tun Faisal Ismail Aziz, supaya beliau melepaskan jawatan selepas didakwa Majlis Tertinggi PN bersetuju mengosongkan posisi tersebut.

Namun begitu, Hamzah dilaporkan masih mendapat sokongan 13 Ahli Parlimen Bersatu yang mahu beliau terus menerajui blok pembangkang di Dewan Rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah turut mengulas kritikan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menyelar Ahli Parlimen pembangkang kerana tidak menyokong pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Tegasnya, pembangkang tidak pernah menolak rang undang-undang tersebut secara mutlak, sebaliknya telah menyatakan persetujuan secara prinsip dengan beberapa syarat tertentu.

“Kami bersetuju pada dasarnya, tetapi ada syarat yang perlu dipertimbangkan. Apabila perkara itu tidak diambil kira, kami memilih untuk berkecuali. Berkecuali bukan bermaksud menolak,” katanya.

Beliau menambah bahawa tindakan tidak mengundi atau keluar dewan adalah hak setiap Ahli Parlimen dan tidak wajar ditafsirkan sebagai penolakan automatik terhadap sesuatu usul.

Hamzah turut menegaskan bahawa kegagalan RUU tersebut melepasi undian bukan berpunca daripada pembangkang.

Menurutnya, dengan jumlah 154 Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan, menjadi tanggungjawab pihak kerajaan untuk memastikan kehadiran penuh ketika undian penting, apatah lagi pindaan Perlembagaan memerlukan majoriti dua pertiga.

“Kerajaan ada angka yang cukup. Soal kehadiran, penyelarasan dan disiplin Ahli Parlimen kerajaan adalah tanggungjawab mereka sendiri,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles