KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa kekuatan sebenar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak hanya bergantung kepada kecanggihan aset atau teknologi, sebaliknya berpaksikan nilai integriti yang kukuh dalam kepimpinan dan seluruh warganya.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan menerima menghadap Panglima Angkatan Tentera (PAT) baharu, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman di Istana Negara hari ini.
Sultan Ibrahim menekankan bahawa budaya menolak rasuah serta salah guna kuasa perlu dijadikan prinsip utama dalam pentadbiran dan kepimpinan ATM.
Menurut Baginda, integriti, ketelusan dan akauntabiliti merupakan asas penting bagi memastikan ATM terus dihormati serta diyakini oleh rakyat.
Baginda turut menyeru seluruh warga tentera agar mengekalkan disiplin tinggi dan menjadikan penolakan terhadap rasuah sebagai budaya kerja yang berterusan demi mempertahankan kedaulatan serta kepentingan negara.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut mengingatkan kepimpinan tertinggi ATM supaya sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan anggota di samping memperkukuh keupayaan pertahanan negara selaras dengan cabaran keselamatan semasa yang semakin kompleks.
Untuk rekod, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dilantik secara rasmi sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-24 semalam.
Beliau yang berusia 59 tahun turut dinaikkan ke pangkat Jeneral berkuat kuasa 1 Februari lalu, selepas sebelum ini menyandang jawatan Panglima Medan Barat Tentera Darat.










