AGC Teliti Kenyataan Shafie, Tidak Tolak Prosiding Hina Mahkamah

PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang meneliti kenyataan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir, dan tidak menolak kemungkinan memulakan prosiding penghinaan mahkamah sekiranya ia melanggar undang-undang.

AGC dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, pihaknya memandang serius ucapan Mohd Shafie ketika majlis “Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan” pada 20 September lalu yang disifatkan berpotensi menjejaskan kelancaran prosiding mahkamah serta mencetuskan persepsi tidak tepat dalam kalangan masyarakat.

“Jabatan ini sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan kekeliruan atau mengganggu perjalanan prosiding mahkamah yang masih berlangsung,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, pasukan peguam yang mewakili pelajar B, C, D dan E dalam prosiding inkues itu turut mengecam kenyataan Mohd Shafie, yang disifatkan sebagai tuduhan melulu, berbahaya dan menjijikkan.

Menurut kenyataan bersama mereka semalam, satu rakaman video dimuat naik ke Facebook menunjukkan Mohd Shafie melabelkan kes tersebut sebagai “pembunuhan” serta mempertikaikan tatacara siasatan polis dan pakar patologi forensik.

“Kenyataan sebegini amat tidak bertanggungjawab serta bersifat prejudis terhadap anak guam kami. Menggambarkan kes ini sebagai pembunuhan tanpa melalui proses undang-undang adalah tidak wajar,” kata mereka.

BBerkaitan

Latest articles