PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa tindakan Kerajaan Persekutuan memfailkan rayuan tidak menyasarkan formula 40 peratus hasil Sabah, sebaliknya hanya melibatkan tafsiran peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Dalam kenyataan hari ini, AGC menjelaskan rayuan tersebut tertumpu kepada sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, termasuk dapatan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah didakwa menyalahgunakan kuasa serta melanggar Perlembagaan sejak 1974.
Menurut AGC, Mahkamah Rayuan Malaysia telah membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menggantung pelaksanaan penghakiman Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2024 berkaitan semakan Pemberian Khas Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021.
“Penggantungan ini bersifat sementara sementara menunggu keputusan rayuan penuh, bagi mengelakkan proses rayuan menjadi tidak bermakna,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, AGC menegaskan perintah penangguhan tersebut tidak melibatkan dapatan Mahkamah Tinggi berhubung peruntukan 40 peratus seperti termaktub di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
Terdahulu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan bersama Datuk Ismail Brahim dan K. Muniandy sebulat suara membenarkan permohonan penangguhan berkenaan.
Mahkamah berpendapat wujud keadaan istimewa yang memerlukan penangguhan diberikan, termasuk bagi memastikan integriti rayuan terus terpelihara serta mengelakkan Kerajaan Persekutuan berdepan prejudis sekiranya permohonan itu ditolak.
Panel turut mengambil kira bahawa semakan kes berkenaan melibatkan sejumlah besar dokumen berkaitan hasil kewangan Persekutuan sepanjang 47 tahun, dari 1974 hingga 2021.
Pada 17 Oktober tahun lalu, Hakim Datuk Celestina Stuel Galid memerintahkan Kerajaan Persekutuan menyemak semula kadar pemberian khas dalam tempoh 90 hari serta mencapai persetujuan pembayaran dalam masa 180 hari dari tarikh keputusan.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society, yang antara lain mendakwa Kerajaan Persekutuan gagal menunaikan hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil Persekutuan bagi tempoh berkenaan.










