PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara memberi amaran bahawa sebarang pemasangan atau paparan Jalur Gemilang yang tidak mengikut tatacara rasmi boleh membawa tindakan undang-undang sekiranya menimbulkan kekeliruan, salah faham atau kegusaran awam.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, jabatan itu menegaskan bahawa pihaknya memandang serius isu berkenaan, termasuk perbuatan memaparkan atau mengibarkan bendera negara secara tidak wajar.
“Semua pihak bertanggungjawab untuk menghormati bendera Malaysia sebagai simbol kedaulatan negara, dan wajib mematuhi undang-undang serta garis panduan yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
Jabatan Peguam Negara turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri terhadap mana-mana individu atau pihak yang disyaki melakukan kesalahan berkaitan pemasangan bendera.
Antara tindakan yang dilarang termasuk menyerbu premis, mendedahkan maklumat peribadi, membuat tuduhan tanpa bukti di media sosial, mencetuskan provokasi atau ugutan, serta mengarahkan penurunan bendera atau menyita bahan tanpa kuasa undang-undang.
Sebaliknya, semua aduan atau maklumat perlu disalurkan kepada pihak berkuasa yang berwajib untuk tindakan lanjut, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang.