KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Muhammed Yusoff Rawther daripada dua pertuduhan melibatkan pengedaran dadah dan pemilikan senjata tiruan.
Dalam satu kenyataan, AGC memaklumkan bahawa pihaknya telah meneliti keputusan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bertarikh 12 Jun lalu yang melepaskan dan membebaskan Muhammed Yusoff tanpa dipanggil membela diri di akhir kes pendakwaan.
“Setelah mempertimbangkan keputusan tersebut, Jabatan ini telah memfailkan Notis Rayuan terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan berkenaan pada hari ini,” menurut kenyataan itu.
Muhammed Yusoff, 32, yang juga bekas pembantu penyelidik kepada seorang ahli politik, sebelum ini didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram.
Jika sabit kesalahan, kesalahan ini membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati.
Beliau juga menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki dua pistol tiruan.
Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan yang didakwa berlaku pada 6 September 2024.
Dadah jenis kanabis ditemui dalam sebuah kenderaan di hadapan Surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, manakala pistol tiruan dikatakan ditemui di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara.