DAP Mahu PRN Pulau Pinang Serentak PRU16, Elak Risiko Pengundi Tidak Keluar Mengundi

GEORGE TOWN: DAP mahu memastikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang ke-16 diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi mengelakkan risiko kemerosotan kadar keluar mengundi sekiranya kedua-dua pilihan raya dilaksanakan secara berasingan.

Cadangan itu akan dibawa untuk dibincangkan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP selepas Konvensyen DAP Pulau Pinang hari ini dicadangkan meluluskan usul supaya PRN dan PRU16 diadakan serentak.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata langkah itu wajar dipertimbangkan susulan bayangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa PRU16 berkemungkinan diadakan tahun depan.

Beliau berkata, penganjuran pilihan raya secara serentak dilihat sebagai pendekatan lebih baik untuk memastikan penyertaan pengundi lebih tinggi, sekali gus mengelakkan situasi kadar keluar mengundi merosot apabila PRN diadakan secara berasingan.

Katanya, trend itu dapat dilihat menerusi enam PRN yang berlangsung pada 2023, selain pilihan raya negeri di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka baru-baru ini yang mencatatkan kadar keluar mengundi lebih rendah berbanding pilihan raya umum sebelumnya.

“Kita berharap dapat memastikan lebih ramai pengundi keluar mengundi. Jika pilihan raya diadakan secara berasingan, terdapat risiko kadar keluar mengundi yang rendah bagi PRN.

“Oleh itu, mengadakan pilihan raya secara serentak merupakan pilihan yang lebih baik,” katanya kepada pemberita sempena konvensyen berkenaan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Loke menggesa jentera DAP Pulau Pinang mempergiat usaha mendekati rakyat dan meyakinkan pengundi supaya terus memberikan mandat kepada parti itu untuk mentadbir negeri berkenaan.

Beliau berkata, kepimpinan DAP selama 18 tahun di Pulau Pinang perlu dijadikan asas untuk mendapatkan kepercayaan rakyat bagi meneruskan agenda pembangunan serta memastikan kemajuan negeri itu tidak terhenti.

Katanya, parti itu mempunyai tanggungjawab membuktikan pentadbiran sedia ada terus mampu membawa manfaat kepada rakyat, selain memastikan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan dapat disiapkan dengan sempurna.

“Kita mesti meyakinkan mereka bahawa kepimpinan kita selama 18 tahun telah membawa manfaat kepada Pulau Pinang.

“Kita berharap rakyat Pulau Pinang terus memberi mandat kepada kita untuk memimpin negeri ini ke arah masa depan yang lebih baik, serta memastikan semua projek yang sedang berjalan dilaksanakan dengan baik dan direalisasikan demi membawa kemajuan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau menegaskan, usaha mempertahankan mandat rakyat bukan sekadar bergantung kepada rekod pentadbiran lalu, sebaliknya memerlukan komitmen berterusan untuk memastikan setiap perancangan pembangunan benar-benar memberikan hasil kepada masyarakat.

BBerkaitan

Latest articles