MySiren Bukan Hanya Amaran Bencana, Polis Sedia Manfaatkan Kesan Individu Hilang

PUCHONG: Sistem amaran awal negara, MySiren, berpotensi diperluaskan penggunaannya bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan individu hilang, selain menyalurkan maklumat kecemasan secara terus kepada penduduk di kawasan kejiranan tertentu.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata kerajaan terbuka untuk memperluaskan fungsi sistem bernilai RM200 juta itu kepada agensi lain, meskipun Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menjadi antara agensi terawal yang akan menggunakannya.

Beliau berkata, langkah itu termasuk usaha menjalinkan kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan PDRM menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang sudah mula diusahakan.

Katanya, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, turut menghadiri majlis pelancaran MySiren pada 23 November lalu.

Menurutnya, penggunaan MySiren bagi tujuan keselamatan awam berpotensi membolehkan maklumat mengenai kehilangan individu atau kejadian kecemasan disampaikan dengan lebih pantas kepada masyarakat di kawasan terlibat.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata, MySiren yang dibangunkan dengan kos RM200 juta berjaya menjalani ujian di seluruh negara hari ini, dengan amaran kecemasan disalurkan hampir serentak ke telefon pintar pengguna.

Beliau berkata, sistem yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2024 itu mengambil masa untuk direalisasikan berikutan keperluan memenuhi pertimbangan teknikal serta proses perolehan.

MySiren mula beroperasi pada 19 November lalu, manakala ujian terdahulu turut membabitkan Ahli Parlimen pada 23 November.

BBerkaitan

Latest articles