KUALA LUMPUR: Menghapuskan PTPTN bukan semudah melaungkan janji politik, sebaliknya memerlukan penyelesaian menyeluruh bagi memastikan pembiayaan pendidikan tinggi negara tidak berdepan krisis kewangan baharu.
Itu penegasan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim, yang mengakui perjuangan memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu disertai perancangan teliti, bukannya sekadar retorik untuk meraih sokongan.
Malah, beliau yang pernah lantang menuntut pemansuhan PTPTN ketika menjadi aktivis mahasiswa kira-kira 14 tahun lalu, berkata isu itu perlu diperjelaskan kerana ia membabitkan dua perkara berbeza, iaitu menghapuskan hutang pelajar atau membubarkan institusi berkenaan.
Katanya, kerajaan kini sedang meneliti model pembiayaan pendidikan tinggi baharu yang lebih mampan menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM), sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada PTPTN.
“PTPTN tidak lagi sebenarnya boleh menanggung keseluruhan pembiayaan pendidikan tinggi. Saya rasa itu yang menjadi pokok kepada masalah apabila kita hanya ada satu opsyen dan ia menjadi beban yang perlu diuruskan dari semasa ke semasa,” katanya sebagai memetik temubualnya di dalam podcast BH Borak Harini.
Menurutnya, kebergantungan kepada satu sumber pembiayaan tidak lagi sesuai dengan landskap pendidikan tinggi yang semakin berkembang, termasuk penawaran mikrokelayakan, sijil profesional dan pendidikan teknikal serta latihan vokasional (TVET).
Beliau berkata, sistem pembiayaan perlu dipelbagaikan mengikut laluan pendidikan, seperti pembiayaan TVET yang turut dilaksanakan menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Adam Adli berkata, model PTPTN ketika ini turut berdepan tekanan kerana bergantung kepada dana pusingan, selain perlu menerbitkan sukuk dan bon bagi memastikan pembiayaan pelajar baharu dapat diteruskan apabila kutipan bayaran balik tidak mencukupi.
Keadaan itu, katanya, menuntut perubahan dasar yang lebih konsisten, terutama apabila kaedah pembiayaan dan kutipan pinjaman boleh berubah mengikut perkembangan politik serta dasar kerajaan.
Justeru, kerajaan mahu memperluaskan penawaran biasiswa, mengurangkan pergantungan kepada pinjaman PTPTN dan memastikan kos pengajian tinggi tidak terus membebankan pelajar.
Beliau menegaskan, usaha membentuk sistem pembiayaan baharu tidak perlu menunggu sehingga berakhirnya tempoh 10 tahun RPTM kerana perbincangan dan perancangannya sudah pun bermula.
Katanya, matlamat utama reformasi itu adalah membina sistem pembiayaan yang lebih cekap dan berdaya tahan, tanpa mengulangi risiko kewangan sedia ada atau meletakkan beban tambahan kepada pelajar.










