Wawasan Negara Tidak Tunggu Pilihan Raya Untuk Dekati Rakyat – Wan Saiful

TASEK GELUGOR: Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara) perlu aktif mendekati masyarakat dan melaksanakan program di peringkat akar umbi sejak awal, bukan hanya muncul apabila pilihan raya semakin hampir.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, usaha menyantuni masyarakat perlu dilakukan secara konsisten bagi memastikan rakyat mengenali parti itu serta memahami perjuangannya.

Menurutnya, meskipun Wawasan Negara baru ditubuhkan kira-kira empat bulan lalu, pelbagai aktiviti sudah mula digerakkan di kawasan Parlimen Tasek Gelugor.

“Walaupun parti ini masih muda, menyantuni masyarakat perlu dijalankan secara aktif dan intensif supaya orang kenal dari awal parti yang kita sayangi ini.

“Jangan kita tunggu dekat-dekat pilihan raya baru nak buat program, nanti orang kata apabila pilihan raya baru nak turun. Sebab itu kita perlu bergerak dari awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Deepavali Parti Wawasan Negara Pulau Pinang dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tasek Gelugor di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Naib Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Huan Cheng Guan, Pengerusi Wawasan Negara Pulau Pinang, Khaliq Mehtab dan mantan Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan.

Wan Saiful berkata, sejak penubuhan parti itu, beberapa program sudah dilaksanakan termasuk bacaan Yasin, program bersama pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta pertandingan dam haji.

Menurutnya, program berkenaan dilaksanakan di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Tasek Gelugor iaitu Teluk Air Tawar, Permatang Berangan dan kawasan berkaitan.

Beliau berkata, usaha menggerakkan parti di peringkat akar umbi sebelum ini berdepan cabaran berikutan kelemahan koordinasi dan aktiviti parti di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, penubuhan Wawasan Negara membuka ruang untuk beliau bersama rakan-rakan mengaktifkan semula gerak kerja serta memperluaskan hubungan dengan masyarakat.

Dalam pada itu, Wan Saiful berharap program sambutan perayaan seperti Deepavali dapat menjadi platform menyatukan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

“Alangkah baiknya kalau satu hari nanti kita boleh adakan majlis Deepavali yang dihadiri orang Melayu dan Cina.

“Begitu juga sambutan Tahun Baharu Cina yang disertai masyarakat India dan Melayu, serta sambutan Hari Raya yang dihadiri semua kaum. Alangkah meriahnya dan harmoninya jika perkara ini dapat kita capai,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat setempat, pemimpin komuniti dan pihak kuil yang memberikan kebenaran menggunakan kawasan berkenaan bagi menjayakan sambutan Deepavali itu.

Pada majlis sama, lebih 100 penduduk Tasek Gelugor turut menerima sumbangan hasil bantuan pihak yang menyokong penganjuran program berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles