GEORGE TOWN: Sokongan sukarelawan berbangsa Cina membantu Persatuan Infaq Kebajikan Ummah Takaful (IKUT) Pulau Pinang memperluas usaha dakwah kepada masyarakat bukan Islam menerusi pendekatan kuliah jalanan menggunakan bahasa Hokkien.
Penaung IKUT, Zolkifly Md Lazim berkata, pendekatan itu membolehkan dakwah Islam disampaikan secara lebih terbuka dengan mendekati masyarakat bukan Islam di lokasi tumpuan awam, khususnya sekitar pusat bandar George Town.
Menurutnya, inisiatif dikenali sebagai ‘KOMTAR Bersyahadah’ itu turut memecahkan batasan pendekatan dakwah yang sebelum ini lebih tertumpu dalam lingkungan masyarakat Islam.
“Ini baru real dakwah. Kita tidak boleh terperangkap dalam lingkungan yang sama, sebaliknya perlu keluar daripada kepompong sendiri untuk mendekati masyarakat bukan Islam.
“Melalui keyakinan dan keimanan, kita berusaha membawa mesej Islam ke tengah masyarakat tanpa dibatasi perbezaan bangsa,” katanya menerusi satu perkongsian pada Sabtu.
Beliau berkata, usaha berkenaan turut digerakkan bersama sukarelawan Cina yang membantu menyampaikan penerangan mengenai Islam walaupun sebahagian mereka tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama secara formal.
Zolkifly berkata, perkembangan positif dapat dilihat apabila semakin ramai masyarakat bukan Islam, khususnya kaum Cina, menunjukkan minat untuk mengenali Islam dan mengambil keputusan memeluk agama itu.
Katanya, perkembangan terbaharu menyaksikan seorang wanita dikenali sebagai Lily melafazkan syahadah dengan disaksikan puluhan rakan berbangsa Cina yang telah memeluk Islam.
“Setiap minggu ada sahaja saudara baharu daripada kaum Cina, India dan bangsa lain yang memeluk Islam,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, aktiviti dakwah itu diteruskan pada Sabtu dengan penglibatan sukarelawan Cina di lokasi tumpuan sekitar bandar raya George Town.
Program berkenaan turut mendapat sokongan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pacuan empat roda (4×4) yang menyediakan bantuan makanan hasil masakan secara gotong-royong serta bahan edaran untuk aktiviti dakwah.
Zolkifly turut mengajak orang ramai mendoakan kelancaran usaha berkenaan selain menyumbang secara berterusan bagi menyokong gerakan dakwah dan kebajikan IKUT Pulau Pinang.










