690 Lampu LED Solar Dipasang Di Sembilan Lokasi Berisiko Tinggi KLK, LPT1 Dan LPT2

KUALA LUMPUR: Sebanyak 690 unit lampu jalan LED berkuasa solar dipasang di sembilan lokasi berisiko tinggi di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan Fasa 2 (LPT2).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek yang bermula pada 30 Jun 2026 itu berjaya disiapkan sepenuhnya pada Oktober lalu, lebih awal daripada jadual ditetapkan.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 297 unit lampu dipasang di tiga lokasi sepanjang KLK, manakala LPT1 dan LPT2 masing-masing menerima 195 dan 198 unit di tiga lokasi setiap satu.

“Untuk Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), LPT1 dan LPT2, terdapat sembilan lokasi yang terlibat di bawah inisiatif pemasangan lampu jenis LED berkuasa solar dengan jumlah keseluruhan 690 unit lampu,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis mengenai status pemasangan lampu jalan LED solar dan pelan pelaksanaan bersasar di LPT1 serta LPT2, khususnya di kawasan berisiko tinggi berlaku kemalangan dan rempuhan hidupan liar.

Menurut Nanta, pemasangan lampu berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Katanya, inisiatif di bawah Belanjawan 2026 itu menggunakan peruntukan dalaman LLM sebanyak RM30 juta dan membabitkan pemasangan 3,000 unit lampu LED berkuasa solar di lokasi yang dikenal pasti berisiko serta kerap berlaku kemalangan di sepanjang lebuh raya.

“Objektif utama adalah bagi meningkatkan tahap pencahayaan dan memaksimumkan kebolehlihatan pemandu ketika memandu pada waktu malam di lokasi titik hitam dan berisiko tinggi berlaku kemalangan di lebuh raya,” katanya.

Beliau berkata, beberapa langkah diambil bagi mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan, termasuk mempercepatkan proses pembuatan, penghantaran dan pemasangan lampu di lokasi.

Selain itu, bilangan pasukan kerja turut ditambah dan digerakkan secara serentak bagi meningkatkan kapasiti pemasangan di tapak mengikut kesediaan lokasi.

Nanta berkata, inisiatif itu diharap dapat meningkatkan keselesaan pengguna lebuh raya serta memperkukuh aspek keselamatan, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan jalan raya terutama pada waktu malam.

BBerkaitan

Latest articles