SPRM Nafi Siasatan Dua Darjat, 20 Saksi Sudah Dirakam Percakapan Isu KKDW

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan siasatan berhubung dakwaan lebihan perbelanjaan RM2.1 bilion Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sedang berjalan, sekali gus menolak tuduhan kononnya agensi itu mengamalkan siasatan dua darjat.

SPRM berkata, siasatan terhadap perbelanjaan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) dimulakan sejak 7 Oktober lalu, dengan 20 saksi daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, proses berkenaan masih diteruskan dengan setiap maklumat serta keterangan yang diperoleh diteliti bagi memastikan siasatan merangkumi semua aspek berkaitan.

“Dakwaan tersebut sama sekali tidak berasas dan tidak mencerminkan prinsip profesionalisme, integriti serta tatacara kerja yang menjadi pegangan SPRM dalam melaksanakan setiap siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu susulan dakwaan Penasihat DAP, Lim Guan Eng, semalam yang mempersoalkan tindakan SPRM dalam mengendalikan dua isu berbeza, iaitu kontroversi lanjutan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) serta dakwaan lebihan perbelanjaan RM2.1 bilion KKDW.

Lim mendakwa SPRM bertindak pantas dalam siasatan membabitkan KLSCAH, namun mempersoalkan kelewatan tindakan terhadap isu KKDW yang diterajui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau turut mempersoalkan mengapa tindakan segera tidak diambil terhadap kementerian itu meskipun Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan mengesahkan berlaku lebihan perbelanjaan berjumlah RM2.1 bilion.

Menurut Lim, laporan berhubung isu berkenaan dikemukakan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, pada 6 Oktober lalu.

Mengulas kritikan itu, SPRM berkata, pihaknya menghormati hak semua pihak untuk mengemukakan pandangan, teguran dan kritikan, namun setiap dakwaan perlu berasaskan fakta sahih serta disampaikan secara bertanggungjawab.

Tegasnya, semua siasatan dijalankan berpandukan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang tanpa mengambil kira kedudukan, pangkat atau latar belakang mana-mana individu.

SPRM turut menegaskan komitmennya untuk melaksanakan tanggungjawab secara profesional, bebas, adil dan telus bagi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang terus dipertahankan.

BBerkaitan

Latest articles