KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka memperoleh hasil dua kajian berkaitan perkahwinan bawah umur pada awal 2027 sebelum menentukan tindakan susulan bagi menangani isu berkenaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kedua-dua kajian itu sedang dilaksanakan bagi menilai keberkesanan strategi sedia ada serta mengenal pasti faktor risiko dan langkah pencegahan yang perlu diperkukuh.
Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bekerjasama dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia bagi melaksanakan Kajian Penilaian Keberkesanan Pelaksanaan Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur 2020-2025.
Pada masa sama, kementerian melalui Institut Sosial Malaysia (ISM) turut melaksanakan Kajian Perkahwinan Bawah Umur di Malaysia: Faktor Risiko, Faktor Pelindung dan Strategi Pencegahan.
“Kedua-dua kajian ini dijangka selesai awal tahun 2027. Oleh itu, KPWKM berpandangan adalah lebih wajar untuk Kerajaan mengemukakan dapatan muktamad setelah hasil kajian tersebut diperoleh dan diteliti lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis bagi menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan bersedia menggubal undang-undang bagi mengharamkan semua perkahwinan membabitkan kanak-kanak perempuan bawah 18 tahun tanpa pengecualian.
Menurut Nancy, kajian berkenaan turut dirangka untuk menilai pelaksanaan strategi oleh agensi terbabit, mengenal pasti jurang pelaksanaan serta meneliti langkah pencegahan yang perlu dipertingkatkan.
“Hasilnya kelak akan digunakan untuk menentukan tindakan susulan yang lebih berfokus dan berasaskan bukti,” katanya.
Sementara menunggu hasil kajian, beliau berkata, usaha menangani perkahwinan kanak-kanak tetap diteruskan menerusi Dasar Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan 2026-2030.
Nancy berkata, tumpuan kerajaan turut merangkumi akses dan pengekalan kanak-kanak perempuan dalam pendidikan, maklumat serta perkhidmatan kesihatan bersesuaian, selain perlindungan daripada keganasan dan eksploitasi.
Kerajaan juga memberi perhatian kepada sokongan terhadap keluarga yang berdepan kesukaran sosioekonomi bagi mengurangkan faktor yang boleh meningkatkan risiko perkahwinan kanak-kanak.
Beliau berkata, pandangan dan pengalaman kanak-kanak perempuan turut akan diambil kira dalam merancang serta menambah baik tindakan yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.










