JOHOR BAHRU: Perbuatan mendera kanak-kanak berusia tiga tahun sehingga membawa kepada kematian, termasuk memaksanya memakan najis sendiri, menyebabkan seorang bekas pemandu e-panggilan dihukum penjara lapan tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor menjatuhkan hukuman terhadap Chan Wen Jin, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Hukuman itu berkuat kuasa mulai tarikh tangkapannya pada 3 Oktober 2022.
Selain penjara, mahkamah memerintahkan Chan melaksanakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan seorang penjamin tanpa cagaran. Dia turut diwajibkan menjalani kerja komuniti selama 36 jam dalam tempoh tidak melebihi enam bulan.
Dalam penghakimannya, Abdul Fareed menegaskan hukuman perlu mengambil kira kepentingan awam dan tertuduh, selain mempertimbangkan keseriusan kesalahan, fakta kes serta faktor mitigasi.
Beliau menyifatkan tindakan tertuduh memaksa mangsa memakan najis daripada lampin pakai buangnya sendiri sebagai perbuatan tidak bertamadun dan menjatuhkan maruah, yang sama sekali tidak boleh diterima sebagai kaedah mendidik kanak-kanak.
“Rakaman itu menunjukkan perbuatan tertuduh melampaui hukuman fizikal biasa, sebaliknya merupakan penderaan keterlaluan tanpa belas kasihan terhadap kanak-kanak berusia tiga tahun yang tidak berdaya melindungi diri sendiri,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Mahkamah turut menegaskan tertuduh telah mengkhianati kepercayaan bapa mangsa yang mengamanahkannya untuk menjaga kanak-kanak berkenaan.
Abdul Fareed juga menolak alasan pembelaan bahawa tindakan itu dilakukan sebagai kaedah mendidik mangsa, seperti yang diamalkan tertuduh terhadap anaknya sendiri.
Menurut beliau, sekiranya Chan tidak berupaya menjaga kanak-kanak itu, dia sepatutnya menyerahkannya semula kepada bapa mangsa dan bukannya bertindak melakukan penderaan.
Sebelum ini, Chan berdepan pertuduhan membunuh Lee See Jie, tiga tahun, di Skudai antara jam 8 malam hingga 8.30 malam pada 2 Oktober 2022.
Pertuduhan asal itu dikemukakan di Mahkamah Majistret Johor Bahru mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong dan Nur Diana Zubir, manakala tertuduh diwakili peguam K Sarawanakumar serta Freeda Sabapathy.










